Jenazah hero Tawau selamat dikebumikan

Jenazah hero Tawau selamat dikebumikan

TAWAU: Jenazah Allahyarham Mazlan Omarbaki, anggota bomba yang lemas bersama lima rakan setugasnya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja hilang di lombong di Puchong, Selangor, malam tadi, tiba di rumah keluarganya di sini, jam 6.20 petang tadi.

Jenazah Allahyarham yang diterbangkan dengan pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.30 petang tadi, tiba di Lapangan Terbang Tawau sebelum dibawa terus ke kediaman bapa saudaranya di Kampung Batu Payung, di sini.

Ratusan penduduk termasuk pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Payung Pinagat, di sini, pada jam 6.50 petang.

Suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu apabila ahli keluarga termasuk ibu mangsa, Asmah Abdalis, 54, kelihatan mengalirkan air mata.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang diterbangkan dengan pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.30 petang tadi ke Lapangan Terbang Tawau sebelum dibawa ke kediaman bapa saudaranya di Kampung Batu Payung, di sini untuk disembahyangkan.

Allahyarham Mazlan, 25, bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berpangkalan di Klang, Selangor.

Laporan BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *