MA63 : Pembangkang Sokong Usaha Kerajaan Persekutuan Pinda Perlembagaan

KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin pembangkang di Sabah menyuarakan sokongan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan hak Sabah dan Sarawak dikembalikan menerusi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bahawa majoriti dua pertiga diperlukan di Parlimen untuk membuat pindaan itu yang mana pembangkang mungkin tidak bersetuju, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata adalah tidak adil untuk membuat anggapan awal berkenaan.

Sebaliknya, beliau yakin semua Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak daripada kedua-dua pihak akan menyokong pindaan itu.

“Cara terbaik untuk mengetahui keadaan itu adalah untuk membuat pindaan Perlembagaan yang diperlukan di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada Oktober ini.

“Membuat tanggapan bahawa pembangkang tidak menyokong, hanya akan menimbulkan syak wasangka bahawa kerajaan hari ini tidak serius dalam menyelesaikan perkara berkenaan, iaitu sebagai alasan mudah untuk tidak meneruskan pemberian hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

“Saya yakin Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak daripada kedua-dua pihak (pembangkang dan kerajaan) akan mengundi untuk pindaan itu,” katanya.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menyatakan Sabah dan Sarawak mempunyai 56 Ahli Parlimen secara keseluruhannya, kekuatan yang diperlukan Semenanjung untuk membentuk kerajaan pada hari ini.

“Orang Sabah dan Sarawak melihat dengan dekat reaksi Ahli Parlimen di Semenanjung kepada cadangan mengembalikan hak kedua-dua negeri itu seperti dinyatakan dalam MA63,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, turut menyatakan sokongan atas pindaan berkenaan dan mencadangkan Perjanjian Kesatuan Malaysia Baru untuk menggantikan MA63 yang `ketinggalan zaman’.

“Pindaan Perlembagaan adalah satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak dikembalikan.

“Kita boleh mendapatkan sokongan dua pertiga daripada wakil rakyat Sabah dan Sarawak. Perubahan ini (dalam Perlembagaan) adalah satu daripada penyelesaian selain cadangan awal mengenai perjanjian baru,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *