Sabah dan Indonesia perkukuh hubungan

KOTA KINABALU: Indonesia akan terus memperkukuh hubungan dengan Sabah di bawah kerajaan baharu pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk manfaat bersama.

Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Khrisna Djelani, berkata konsulat akan bekerjasama dengan kerajaan dan mengeratkan lagi persahabatan khususnya dalam aspek sosial, ekonomi dan budaya.

“Kami mahu bekerjasama dengan siapa saja yang memerintah demi manfaat kepada kedua-dua wilayah kerana di Sabah, kita ada kira-kira 150,000 rakyat Indonesia berdaftar yang kini berada di negeri ini.

“Sebagai migran, sudah tentu kita nasihatkan mereka mematuhi undang-undang sedia ada di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Konsulat Indonesia di sini, semalam.

Khrisna juga mengingatkan rakyat Indonesia yang tinggal di negeri ini supaya tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada pilihan raya umum Indonesia tahun depan.

Mengenai rumah terbuka itu, Khrisna berkata ia diadakan bagi menggalakkan rakyat Indonesia berkumpul merayakan Aidilfitri dalam semangat bersatu-padu.

Katanya, sebahagian daripada mereka tidak dapat pulang ke Indonesia dan perayaan rumah terbuka itu membuatkan mereka seperti berada di rumah sendiri.

Rumah terbuka itu turut menyaksikan kehadiran penduduk tempatan bersama-bersama merayakan Aidilfitri sambil menikmati makanan tradisi masyarakat Indonesia.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *