Kerajaan Sabah kaji semula Dasar Kabotaj termasuk di Tawau

Kerajaan Sabah kaji semula Dasar Kabotaj termasuk di Tawau

TAWAU: Kerajaan Sabah akan mengkaji semula pengecualian Dasar Kabotaj, sama ada ia berkesan atau perlu meminta Kerajaan Pusat memansuhkan sama sekali dasar itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew, berkata kajian itu perlu memandangkan harga barangan di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung kerana faktor kos pengangkutan, sekali gus membebankan rakyat bergaji rendah di negeri ini.

Katanya, apa pun yang diperoleh menerusi kajian itu, beliau yakin keputusan kerajaan negeri sentiasa berpihak kepada rakyat.

“Jika dasar ini dimansuhkan sepenuhnya, ia dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan barangan ke Sabah sekali gus mengurangkan harga runcit.

“Kerajaan perlu mengkaji kebaikan dan kelemahan Dasar Kabotaj ini. Pada pendapat saya, lebih banyak kelebihan jika dasar ini dimansuhkan (kepada Sabah),” katanya

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Giant Hypermarket di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan pengecualian Dasar Kabotaj bermula Jun tahun lalu bagi kapal kargo dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dasar Kabotaj adalah sebuah dasar perkapalan kargo yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 1990 melalui pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dengan adanya dasar ini, Malaysia mengenakan syarat kepada syarikat perkapalan tempatan dan antarabangsa supaya menghantar barangan ke Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum ia diedarkan ke pelabuhan lain dengan menggunakan kapal kargo tempatan.

Dalam pada itu, Christina berkata, pihaknya juga akan meneliti isu mengenai kadar gaji diterima rakyat Sabah yang masih rendah berbanding di Semenanjung.

Katanya, ia juga satu aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk mengurangkan harga barangan keperluan harian di negeri ini

“Bukan sahaja harga barangan (keperluan harian), harga rumah juga perlu diberi tumpuan, terutama kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Ahli Parlimen Tawau itu juga mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berkunjung ke daerah ini pada 1 Julai depan untuk bersama masyarakat dalam Majlis Rumah Terbuka Raya 2018 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menyentuh mengenai program hari ini, Christina berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) menentukan harga bagi 22 barangan terkawal mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi daerah Tawau.

“Daerah ini menunjukkan wujudnya kes mengambil peluang menaikkan harga barang dan peniaga yang melanggar peraturan itu boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 yang mana mereka didapati bersalah boleh dikenakan kompaun maksimum RM25,000,” katanya. – Oleh Nasrawati Syarifuddin/BH Online

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *