Kerajaan pertimbang aktiviti tukar barang di antara Tawau dan Indonesia

Kerajaan pertimbang aktiviti tukar barang di antara Tawau dan Indonesia

TAWAU, 2 Jun (Bernama) — Kementerian Kewangan Sabah akan mempertimbang semula pembukaan aktiviti tukar barang antara Tawau, Malaysia dengan Indonesia, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata.

Beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta turut mengambil kira maklumat daripada agensi berkuat kuasa termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Permintaan banyak untuk aktiviti perniagaan ini dikembalikan semula, tetapi pada masa sama perlu ada susun atur pelaksanaan agar tiada penyeludupan melalui jalan tikus (pihak ambil kesempatan).

“Perlu ada kawalan dan penguatkuasaan mapan serta hanya mengiktiraf satu lokasi sahaja untuk perniagaan tersebut, selain hanya melibatkan senarai barangan yang dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan sempena Ramadan kepada 109 anak-anak yatim di sini, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata inisiatif untuk mengembalikan perniagaan barter antara Tawau, Malaysia dan Indonesia secara sah itu dilihat dapat merancakkan ekonomi penduduk Tawau yang merudum.

Sementara itu, Sarifuddin berkata perniagaan barter bersama Filipina pula akan dibincangkan lanjut dengan MKN bagi melihat keperluan utama serta faktor keselamatan.

Beliau turut menggesa agar penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan kepada peniaga yang terlibat membawa keluar barang kawalan (menyeludup keluar) supaya lesen dibatalkan atau diharamkan.

Pada April 2016, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Musa Aman mengambil langkah drastik menghentikan semua aktiviti perniagaan barter di semua pelabuhan negeri manakala aktiviti perdagangan secara pemunggahan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) turut digantung serta-merta ekoran faktor keselamatan seperti penculikan di laut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Kewangan sedang dalam penstrukturan semula jabatan bagi sistem kerja yang lebih efisyen selaras pimpinan kerajaan baharu.

Di samping itu, katanya program merakyatkan perkhidmatan awam menerusi kementeriannya yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini akan diteruskan dengan penambahbaikan serta dipelbagaikan demi kepentingan rakyat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *