Peguam dakwa Musa Aman ke luar negara untuk rawatan

Peguam dakwa Musa Aman ke luar negara untuk rawatan

KOTA KINABALU – Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini sedang mendapatkan rawatan perubatan dan tidak melakukan perjalanan ke luar negara secara tidak sah.

Tanpa memberitahu apakah yang dihidapi dan di mana beliau mendapatkan rawatan, peguamnya Zahir Shah berkata Musa dinasihatkan oleh doktor peribadinya untuk mendapatkan rawatan bagi  penyakit yang telah lama dihidapinya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Tan Sri Musa ingin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan perjalanan meninggalkan negara secara tidak sah dan ingin menjelaskan bahawa perjalanannya sentiasa melalui saluran imigresen.

“Beliau (Musa) mengulangi bahawa beliau sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan akan terus berbuat demikian untuk membantu pihak berkuasa asalkan ia dilaksanakan dengan adil dan mematuhi undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Zahir berkata, Musa akan kembali ke Sabah sebaik sahaja rawatan perubatannya selesai dan doktor beliau berpuas hati dengan keadaan kesihatannya secara keseluruhan.

Peguam itu membuat kenyataan tersebut selepas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali semalam memberi amaran kepada Musa bahawa tindakan akan diambil jika pengerusi Barisan Nasional Sabah itu meninggalkan negara secara menyalahi undang-undang.

Polis telah cuba untuk merakamkan kenyataan daripada bekas ketua menteri itu bagi menyiasat aduan yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kepada polis pada 19 Mei dipercayai berhubung ugutan jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata polis percaya Musa telah meninggalkan Sabah sejak 14 Mei. – Bernama

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *