PERKESO bawa 12 anak yatim Tawau beli pakaian raya

PERKESO bawa 12 anak yatim Tawau beli pakaian raya

TAWAU, 26 Mei : Kegembiraan terpancar pada wajah 12 anak yatim di sini apabila dibawa membeli pakaian raya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Kesemua mereka dibawa ke BTC Textile Emporium dan diberikan peluang memilih sendiri baju disukai sambil  ditemani 20 warga kerja   Perkeso  termasuk  Pegawai  Eksekutif Unit Skuad Perkeso Prihatin, Ratna Palurui.

Ratna berkata peruntukan bantuan raya itu adalah daripada zakat pendapatan anggota Perkeso dan diagihkan kembali kepada waris pencarum yang berkelayakan.

“Tahun lepas Perkeso melaksanakan program agihan keperluan asas sempena raya, kali ini kita beli baju raya,” katanya menambah tahun ini tiga waris keluarga pencarum layak menerima bantuan raya Perkeso.

Sementara itu, Nurul Shazwina Natasha Edward , 13, berkata ini kali pertama dia menyambut hari raya tanpa bapa  yang meninggal dunia tahun lalu akibat terkena renjatan elektrik.

“Selepas ayah tiada, orang lain yang temankan beli baju raya dan memang perasaan lain bila bukan ayah yang sama-sama dengan kami mencari baju raya,” kata anak keenam daripada sembilan  beradik itu.

Shazwina dan tiga lagi adiknya  berusia 10, 9 dan 7 tahun antara penerima bantuan raya Perkeso itu, datang ke gedung pakaian tersebut ditemani abangnya Muhd Raffi, 25, bagi memilih baju.

Muhd Raffi ketika ditemui menzahirkan kesyukuran apabila Perkeso membantu menyediakan pakaian raya untuk empat orang adiknya.

“Selepas ini tinggal saya beli baju untuk saya dan dua lagi adik di tingkatan enam dan empat manakala dua lagi adik saya berada di Kuala Lumpur dan mereka boleh menampung beli baju sendiri,” kata tukang masak di Hotspring Park di sini sambil tersenyum.

Muhd Raffi yang menjaga enam adiknya itu tinggal di Kampung Pasir Putih bersama-sama bapa saudara mereka selepas ayahnya yang juga bekas kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd meninggal dunia manakala ibunya berkahwin lain.

Sementara itu, balu kepada Syabturani Abd Halim iaitu Suhaina Mussi, 34, berkata Perkeso telah membawa sinar syawal kepada empat anaknya yang berumur setahun hingga 10 tahun apabila dibawa membeli baju raya.

“Anak ada juga tanya bila beli baju raya dan saya pula berjimat selepas arwah meninggal akibat kanser awal tahun ini.

“Tetapi ada bantuan Perkeso ini, jadi hilang sedikit fikiran untuk membeli baju raya anak,” katanya yang berterima kasih kepada Perkeso kerana membantu mencipta pengalaman manis untuk anak-anaknya.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *