AWANI – Sabah akan struktur semula mahkamah anak negeri

AWANI – Sabah akan struktur semula mahkamah anak negeri

TAWAU: Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah akan menstruktur semula Mahkamah Anak Negeri Sabah mengikut model mahkamah syariah atau sivil khususnya dari segi hirarki.

Menterinya Datuk Aidi Moktar berkata seperti mahkamah syariah atau sivil yang mempunyai mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan, Mahkamah Anak Negeri juga akan distrukturkan sedemikian.

“Sehubungan itu, saya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam agar dapat diwujudkan perjawatan bersesuaian berdasarkan keperluan Mahkamah Anak Negeri tersebut.

“Misalnya, Orang Kaya Kaya (OKK) kita wujud perjawatan Gred41 dan mestilah dalam kalangan anak-anak tempatan Sabah yang memiliki ijazah, begitu juga Ketua Anak Negeri ini kita ibaratkan sebagai hakim mahkamah tinggi dan sekurangnya memiliki diploma,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Sekolah Islamiyah Tawau Sabah (ASIST) ke-8 di sini, pada Ahad.

Katanya Wakil Anak Negeri pula yang boleh dianggap setara hakim mahkamah rendah, mereka perlu ada Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini agar Mahkamah Anak Negeri Sabah dipandang berwibawa oleh masyarakat dan segala proses berjalan lancar,” kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah itu yang bersara pada 2015.

Beliau berkata penstrukturan semula itu dijangka berlangsung secara beransur-ansur dalam tempoh lima tahun ini bagi memastikan Mahkamah Anak Negeri Sabah dibarisi individu berwibawa, bukan dilantik kerana kenalan politik.

“Kita akan tubuh satu jawatankuasa pemandu khusus melihat perkara ini,” katanya.

Beliau turut memuji langkah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menubuhkan kementerian itu yang membuktikan keprihatinan presiden Parti Warisan Sabah tersebut terhadap hal ehwal anak negeri, khususnya dalam mengembalikan Mahkamah Anak Negeri kepada golongan bumiputera bukan Islam.

Mengulas lanjut, Aidi berkata misi dan visi utama kementeriannya turut merangkumi penubuhan Mahkamah Anak Negeri di setiap daerah di Sabah.

Sementara itu mengenai program hari ini, Aidi mengusulkan Alumni Sekolah Islamiyah Tawau mewujudkan Yayasan ASIST yang berorientasikan bantuan khairat dan kebajikan kepada golongan memerlukan termasuk anak-anak Sekolah Islamiyah Tawau.

Beliau turut mencadangkan agar Papar dibangunkan menjadi antara Hab Pendidikan di Sabah selain di Sandakan serta Tawau.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *